Assalamualaikum,
Coretan ini cuma beberapa cebisan catatan diari yang kuabadikan pada Julai setiap tahun.
Julai 2007:
Aku merenungi langit malam. Baru di tingkatan 2 tetapi masalah sudah menggunung . Kawan makan kawan, gosip-gosip liar, fitnah & macam-macam lagi. Belum masuk hal pelajaran lagi. Mungkin aku dilabel "budak bermasalah" tapi aku masih risau tentang pelajaranku. Report card dipenuhi dengan dakwat merah, balik rumah tangan pulak yang merah. Kadang-kadang aku harap aku boleh lari dari masalah.
Julai 2008:
Aku merenungi langit malam. Entah kenapa malam ini lebih tenang daripada biasa. Mungkin kerana jiwaku semakin tenang, jauh daripada masalah. Tindakanku menjauhi mereka yang memberi pengaruh negatif memang tepat walaupun agak perit pada mulanya. Syukur, prestasi pelajaranku semakin meningkat & aku lebih fokus. Cuma sikap malas mengulang kaji pelajaran agak sukar dibendung. Maklumlah, aku bukan "budak skema".
Julai 2009:
Aku merenungi langit malam. Sambil mendengarkan Fly.fm, aku menghitung jumlah bintang yang jadi peneman setia. Lagu I'm Yours dendangan Jason Mraz berkumandang seperti mengajak aku bernyanyi bersama. Masalah yang membelenggu sebelum ini banyak mengajar aku. Dulu aku sering disangka bermasalah tetapi tiada siapa menyangka prestasi pelajaranku meningkat mendadak. Syukur.
Julai 2010:
Aku merenungi langit malam. Aku rindu mahu menatap langit malam di kampung. Di sana bintangnya lebih 'ramah' dan cahaya bulan lebih terang. Udara yang nyaman dan suasana kampung yang permai membuatkan aku rasa berat untuk pulang ke Port Dickson. Walaupun SPM semakin menghampiri tetapi aku belum bersedia untuk menghadapinya. Aku seakan hilang semangat disaat genting seperti ini. Harap-harap aku bisa mengumpul kembali semangat yang hilang dan berjuang menghadapi SPM.
Julai 2011:
Aku merenungi langit malam. Alhamdulillah, jiwa yang sebelum ini kosong semakin "gemuk" dengan pengisian rohani. Pelbagai cabaran dan dugaan terasa ringan apabila Allah SWT diletakkan sebagai prioriti. Paling tidak kusangka hati yang keras ini bisa tersentuh bila berkenalan dengan seseorang yang akhlaknya seindah rupa parasnya. Aku kagum, walaupun mempunyai wajah yang "cantik" tetapi dia tidak pernah bongkak malah ramah dan sentiasa menjaga akhlaknya. Dia disegani kerana kebijaksanaannya namun Ad-deen nya tetap diutamakan. Jikalau insan biasa seperti ini bisa buat kita tertarik dengan Islam apatah lagi para Nabi dan Rasul pada zaman dahulu. Aku mahu menjadi hebat seperti dia!!
Julai 2012:
Aku merenungi langit malam. Penat dibelenggu resah, gelisah, kecewa, hampa. Tahniah kepada rakan-rakan yang dapat menyambung pelajaran. Bagi yang kurang bernasib baik sepertiku, bersabarlah. Yakinlah bahawa Allah punya perancangan yang lebih baik untuk kita. Jadikan setiap dugaan yang mendatang sebagai pembakar semangat untuk kita berusaha lebih gigih lagi.
Julai 2013:
Aku merenungi langit malam. Kini aku menjangkau usia 20 tahun. Bersyukur masih diberi peluang untuk memperbaiki diri. Allah SWT memberi musibah untuk memberi peringatan agar tidak terleka dan Dia memberi bahagia supaya kita bersyukur kepada-Nya.
Aku tidak tahu apa yang bakal berlaku pada Julai akan datang, tetapi aku pasti Dia punya perancangan yang terbaik. Kita cuma perlu usaha, usaha, usaha dan tawakal. Jangan biarkan diri tersekat dengan kesilapan masa lalu. Jangan pula terlalu mengejar masa depan yang tidak pasti. Hiduplah di masa kini dengan penuh kesederhanaan. In syaa Allah, moga-moga kita semua berjaya dunia akhirat. ^_^
No comments:
Post a Comment